21 Persiapan Dan Persediaan Awal Mental Dan
Spiritual Sebelum Pergi Menunaikan Ibadat Haji Dan Umrah Ke Tanah Suci
Posted 30/09/2013
by Shafi-Q
Ilustrasi : berangkat ibadah haji. (foto :
tribunnews.com)
Banyak yang perlu disedia dan dilakukan
sebelum berangkat menunaikan ibadah Haji dan Umrah. Persiapan awal mental dan
rohani terutamanya mesti dititikberatkan supaya pemergian ke tanah suci
benar-benar dapat menyucikan jiwa dan menguatkan akidah.
Dalam usaha meraih Haji Mabrur,
maka para bakal haji diharapkan dapat melakukan pematangan sikap, ikhlas,
sabar, saling membantu dan amalan beragama. Hendaklah difahami betul-betul
segala perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan ibadah haji dan umrah mahupun
persiapan rohani dan jasmani (spiritual dan fizikal).
.
.
Persiapan Awal Mental Dan Spiritual
.
Membersihkan dan mensucikan diri secara
rohani atau spiritual boleh dilakukan dengan cara seperti bertaubat
dan memohon ampun kepada Allah SWT memperbaiki kekhusyukan solat, mengeluarkan
zakat dan mohon kemaafan orang lain. Iaitu memperbaiki hubungan dengan Allah SWT dan antara sesama manusia sebagaimana huraian ringkas di
bawah ini:
.
.
1. Syahadah
Perbetulkan iktikad dalam memaknakan
syahadah. Biar setiap urat dan saraf kita benar-benar merasai getarannya
apabila melafazkan kalimah ‘Lailahaillallah Muhammadur rasulullah’ kerana
Syahadah itu janji hati kepada Allah SWT.
Allah
Azza wa Jalla berfirman:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
“Sesungguhnya
orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu
dan berjuang di jalan Allah dengan harta dan dirinya, merekalah orang-orang
yang benar.” (Surah Al-Hujuraat: Ayat 15)
.
.
2. Ikhlas Niat
Dalam menunaikan tuntutan Allah SWT untuk mengerjakan Haji dan Umrah yang diwajibkan ke atas
diri seseorang muslim, perlulah dibersihkan hati dari segala cacat cela dengan
berniat ikhlas kerana Allah SWT. Jadi niat ini semestinya diselidiki selalu
dan diperbetulkan supaya jangan terpesong.
Niat sebenarnya pergi menunaikan ibadah Haji
dan Umrah hanya melaksanakan perintah Allah SWT dan
mengharapkan keredhaanNya semata-mata. Dengan itu haruslah ditanamkan semangat dengan perasaaan
tulus dan ikhlas serta belajar bebaskan diri dari segala tekanan duniawi yang
akan memberatkan fikiran sepanjang perlaksanaan haji.
.
Dari Amirul mu’minin Umar bin Al-Khotthob rodiallahu’anhu,
ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya
amalan-amalan itu berdasarkan niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang apa
yang ia niatkan, maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya maka
hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya, dan sesiapa yang hijrahnya kerana
untuk menggapai dunia atau wanita yang hendak dinikahinya maka hijrahnya kepada
apa yang dihijrahi.” (Hadis
Riwayat Al-Bukhari r.a.)
.
.
3. Tingkatkan Amalan
Jika sebelum ini amat jarang atau belum
pernah melakukan amalan-amalan seperti berzikir, membaca Al-Quran, qiamullai,
bertafakkur, bersedekah (wang, harta, tenaga, lisan) dan sebagainya. Maka
perlulah dipertingkatkan semua amalan tersebut dengan harapan dapat
melakukannya dengan mudah di tanah suci kelak. Jika ketika di Makkah dan di
Madinah baru hendak lakukan, maka akan menjadi suatu bebanan dan keterpaksaan
yang akhirnya memaksa diri melakukannya juga.
Amalan yang dilakukan kerana terpaksa,
apabila balik ke tanah air, sukar untuk diteruskan. Maka tiadalah
penambahbaikan yang berlaku. Oleh yang demikian latihlah diri sebelum berangkat
ke tanah suci kerana latihan ini memerlukan kecekalan dan masa yang panjang.
.
.
4. Muhasabah Diri
Dekatkan diri kita kepada Allah SWT seperti perbanyakkan istighfar dan sentiasa melakukan Qiamullai seperti
melakukan solat-solat sunat seperti Solat Sunat Tahajud, Taubat dan Hajat untuk membantu kita bermunajat
kepada Allah SWT Mengetahui sikap negetif dan pupuklah diri dengan
sifat-sifat yang terpuji dan berusaha membuang sifat-sifat yang buruk dan
tercela.
.
.
5. Taubat Nasuha
Bertaubat atas kesemua dosa dan kelalaian
kita terhadap suruhan Allah SWT serta meninggalkan segala yang makruh dan
perbuatan-perbuatan mungkar. Bersihkan diri dari segala dosa dan perbuatan
lampau yang telah banyak kita lakukan dengan melakukan Solat Taubat dan
memohon keampunan kepada Allah SWT
Jika seseorang itu bertaubat daripada dosa
kepada Allah SWT maka hendaklah memenuhi syarat-syarat Taubat Nasuha :
- Menyesal atas
segala perbuatan dosa.
- Segera
meninggalkan perbuatan dosa tersebut.
- Berazam tidak
akan melakukan lagi dosa-dosa itu.
- Jika berdosa
kepada sesama insan, maka hendaklah memohon maaf dari orang tersebut dan
jika dia mengambil hak seseorang, maka hendaklah dia memulangkan hak
mereka itu.
.
.
6. Perbaiki Kualiti Solat
Jika tahap solat kita masih sama seperti
ketika belajar di sekolah dahulu, kita perlulah memperbaiki dan meningkatkan
kualiti solat terutama mutu bacaan dan tajwid agar lebih khusyuk dan betul.
Rasulullah ﷺ
bersabda: “Bersolatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku
bersolat.”
Memperbanyakkan solat sunat adalah antara
langkah memperbaiki kualiti dan menambah kekhusyukan solat fardhu kita. Dalam
solat juga terdapat zikir dan doa yang kita pohonkan, maka berdoalah
dengan khusyuk dan
yakin, bukan dengan sambil lewa.
.
.
7. Banyakan Berpuasa
Puasa dapat menundukkan nafsu dan menjadi
perisai nafsu manusia, maka perbaikilah kualiti puasa fardhu kita dan
banyakkanlah berlatih dan melakukan puasa sunat. Sekiranya ada puasa yang belum
diqadha atau dikeluarkan fidyahnya, tunaikanlah semampu mungkin. Begitu juga
dengan puasa nazar yang belum ditunai, maka laksanakanlah secepat mungkin.
.
.
8. Belajar Bersabar
Sifat sabar amat diperlukan dalam
melaksanakan ibadah haji, Sikap ini bahkan mulai diuji sebaik seseorang
memutuskan untuk berangkat ke tanah suci. Semua urusan memerlukan
kesabaran, baik pada menunggu giliran haji, pemeriksaan kesihatan, pendaftaran,
mengikuti manasik haji dan sebagainya.
Di tanah suci sendiri, ketika berkumpulnya
jutaan jemaah dengan pelbagai ragam, tabiat dan kebiasaan yang berbeza dan akan
ada saja perilaku yang boleh menimbulkan kemarahan jemaah. Bersabarlah
demi ketaatan kita kepada Allah SWT.
.
.
9. Kawal Perasaan
Kesabaran juga berbentuk hubungan kita dengan
suami atau isteri atau anak atau sahabat kita sendiri. Ada kalanya pertengkaran
antara suami atau isteri dan sebagainya akan sering berlaku apabila tidak
dikawal dengan rasa sabar dan syukur.
Adakalanya di tanah suci, hati kita terdetik
berkenaan sesuatu, ia akan berlaku tanpa disedari, maka belajarlah sejak di
tanah air lagi agar mengawal perasaan, sentiasa berfikiran positif dan bersifat
husnuzon.
Jauhilah sikap suka mengkritik segala perkara
atau sering merungut akan sesuatu yang berlaku. Anggaplah ia sebagai ujian dari
Allah SWT yang mahu melihat akan tahap amarah dan kesabaran kita.
.
.
10. Jihad Kasih Sayang
Bagi seorang wanita menunaikan haji menuntut
pengorbanan tinggi kerana fitrah mereka yang dianugerahi sifat pengasih dan
sensitif dengan jarak perpisahan terutama terhadap anak dan keluarga.
Pengorbanan besar terpaksa dilakukan demi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Rasulullah ﷺ
bersabda: “Jihad
orang tua, kanak-kanak, orang lemah dan orang perempuan ialah haji dan umrah.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.).
Oleh itu, wanita Islam hendaklah berusaha dan
berikhtiar bersungguh-sungguh untuk menunaikan haji. Cita-cita untuk menunaikan
haji mestilah dekat di hati kita.
.
.
11. Tolong-Menolong
Kerap berlaku suatu keadaan kita diminta
untuk memberikan pertolongan kepada orang lain yang memang perlu dibantu
khususnya bagi mereka yang selalu uzur. Lakukan bantuan dengan
segera. Jangan ragu-ragu kerana dengan pertolongan yang diberikan, maka
nescaya Allah SWT
akan membalasnya dengan membantu anda. Percayalah bahawa orang-orang yang banyak membantu orang
lain dengan ikhlas, segala urusannya akan menjadi mudah dan lancar, dan
ajaibnya dia akan terhindar dari pelbagai kesukaran. Yang penting niat menolong dengan ikhlas, tanpa
mengharapkan balasan kecuali redha Allah SWT
semata-mata.
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling baik di
antara kamu adalah orang yang paling baik budi pekertinya.” (Hadis
Riwayat al-Bukhari r.a.).
.
.
12. Berinfak Dan Bersadaqah
Lakukan infak dan sedekah dengan hati yang
ikhlas. Bersedekah bukan terhad kepada harta dan wang ringgit sahaja,
anggota badan, tenaga empat kerat, lisan dan senyuman turut boleh disumbangkan
dalam kehidupan seharian. Bersedekahlah membantu orang-orang miskin dan mereka
yang memerlukan yang ditemui ketika dalam pejalanan atau jiran-jiran kita bagi
melatih diri menjadi pemurah dan melembutkan hati.
Allah SWT juga
berfirman:
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ ۖ قُلْ مَا أَنفَقْتُم مِّنْ خَيْرٍ فَلِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ
“Mereka bertanya
kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada
siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan
maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim,
dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan
(ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya
Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).” (Surah Al-Baqarah: Ayat 215)
Hadis riwayat Asma binti Abu Bakar ra., ia
berkata: Rasulullah ﷺ bersabda kepadaku: “Berinfaklah atau memberilah
dan jangan menghitung-hitung, kerana Allah akan memperhitungkannya untukmu.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)
.
.
13. Hindari Riyak
Elakkan diri dari perasaan riak, ingin
dipuji, takbur, sombong merasa hebat, ingin bergelar dan dipanggil haji atau
hajah. Berserahlah sepenuhnya kepada Allah SWT dan
lakukan semuanya itu dengan taqwa.
Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ كَالَّذِي يُنفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْدًا
“Wahai orang-orang
yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan
membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal
sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada
manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. Maka
bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya,
kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak
bertanah lagi).” (Surah
Al-Baqarah: Ayat 264)
.
.
14. Memahami Sifat-Sifat Mahmudah Dan
Mazmumah
Mengetahui dan memahami sifat-sifat yang
terpuji dan sifat-sifat yang tercela. Pupuklah diri dengan sifat-sifat yang
terpuji dan cuba buangkan sifat-sifat yang tercela.
Jaga tiga perkara; Mulut, Telinga dan Mata
selalu ingat amalan kerana SWT Bukan untuk riak, ujub dan sombong, jujur
dalam perbuatan dan kata-kata.
Dan dari Wabishah bin Ma’bad rodhiallohu
‘anhu dia berkata: “Aku datang kepada Rasulullah ﷺ, Baginda bersabda, “Apakah kamu datang untuk
bertanya tentang kebajikan?” Aku
berkata, “Ya.” Baginda bersabda “Bertanyalah
kepada hatimu. Kebajikan adalah apa yang menjadikan tenang jiwa dan hati,
sedangkan dosa adalah apa yang menggelisahkan jiwa dan menimbulkan keraguan
dalam hati, meskipun orang-orang terus membenarkanmu.” (Hadits hasan yang kami riwayatkan dari Musnad Imam Ahmad
bin Hambal dan Musnad Imam Ad-Darimi dengan sanad hasan).
.
.
15. Meminta Maaf
Mohon maaf kepada orang ibu bapa, suami
isteri, anak-anak, saudara-mara, keluarga dan kaum kerabat. Bermaaf-maafan
sesama kaum muslimin tidak kira saudara, sahabat atau jiran tetangga samada ada
berbuat salah atau tidak dan minta maaf daripada semua orang yang pernah kita
lakukan kesalahan terhadap mereka. Begitu juga, jika kita ada menzalimi orang,
terambil harta orang, hendaklah dipulangkan harta tersebut, atau kita minta
supaya dihalalkan.
Rasulullah ﷺ
bersabda: “Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan
saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana
(di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah)
diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai
kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.).
.
.
16. Keredhaan Ibu Bapa & Suami
Berusaha untuk mendapatkan keredhaan ibu bapa
dan suami, walaupun tidak sewajarnya ibu bapa atau suami melarang
anak/isterinya daripada ibadat haji yang wajib.
Rasulullah ﷺ
bersabda: “Keredhaan Allah SWT terletak pada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah SWT terletak pada kemurkaan ibu
bapa.” (Hadits Riwayat At-Tirmidzi r.a.).
.
.
17. Teman Perjalanan
Bagi kaum wanita pula ditambahkan syarat
iaitu mestilah mendapat izin suami atau walinya dan mesti ditemani mahram.
Harus mendapatkan mahram atau teman yang soleh yang dapat menasihati dan
membantu kita ketika dalam kesusahan atau melakukan kesilapan.
Mencari teman dan rakan yang baik dalam
perjalanan. Sebab kadang-kadang ada teman ketika di sini baik, tetapi di Makkah
berbalah. Ada juga insiden suami isteri berbalah atau bermasam muka.
Kadang-kadang perkara tersebut tidak masuk akal tetapi berlaku. Sebagai contoh,
ada suami isteri yang bercerai selepas melakukan ibadah haji.
.
.
18. Bersangka Baik Kepada Allah
Baik sangka,
menurut Abu Muhammad al-Mahdawi, adalah membuang prasangka buruk (qath’ul
wahm). Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata : Rasulullah ﷺ bersabda : “Allah SWT berfirman : “Aku menurut
sangkaan hambaKu kepadaKu.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.).
Dari Jabir bin Abdillah ra bahwa ia mendengar
Rasulullah ﷺ berkata tiga hari sebelum wafatnya : “Jangan
seorang di antara kamu mati kecuali dia berbaik sangka kepada Allah.”(Hadis Riwayat Muslim r.a.)
Orang yang beriman hendaklah meyakini setiap
perkara yang berlaku ke atas dirinya sama ada baik atau buruk, semuanya telah
ditentukan oleh Allah SWT Jika kita bermohon kepada Allah SWT maka
hendaklah bersangka baik jika
apa yang diharapkan tidak terlaksana. Mungkin Allah SWT mahu
beri yang lebih baik lagi.
Firman Allah SWT:
وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu dan
boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu. Allah
mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah
al-Baqarah, ayat 216)
.
.
19. Istiqamah
Perjalanan suci yang di redhai Allah tidak
terlepas daripada berbagai cabaran yang hanya akan dapat di atasi oleh semangat
yang tinggi, bersabar, tidak berputus asa dan beristiqamah.
Rasulullah ﷺ telah
bersabda: “Amal kebaikan yang disukai Allah ialah yang
sentiasa dilakukan walaupun sedikit.” (Hadis
Riwayat Bukhari r.a.)
Istiqamah sangat penting dalam semua hal.
Rasulullah ﷺ menyuruh kita istiqamah dalam membuat kebaikan, juga
dalam melihat kecacatan dan membaikinya. Beristiqamah dalam melakukan sesuatu
perkara amar makruf nahi mungkar haruslah dilakukan dengan bersungguh-sungguh
dan niat itu hendaklah ikhlas kerana Allah SWT.
.
.
20. Bekalan Taqwa
Segala persediaan dari kelengkapan “material”
seperti wang ringgit, tempat penginapan, makan-minum jika tidak disertai dengan
bekalan taqwa, maka dibimbangi ibadah haji dan umrahnya itu akan hilang dari
matlamat asalnya iaitu kerana Allah SWT
Pastikan para jemaah membawa bersama-sama
bekalan taqwa sebagaimana firman Allah SWT :
وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ
“Dan hendaklah kamu
membawa bekal secukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah taqwa.” (Surah Al-Baqarah 2 : Ayat -197)
Abdullah bin Umar r.a. apabila melihat
rombongan haji sedang melalui satu jalan, beliau berkata: “Pada hari
ini, para jemaah haji menjadi semakin berkurangan dan pengembara-pengembara
semakin bertambah ramai.”
Maksud beliau adalah, kekasih Allah SWT yang
sebenar semakin berkurangan sementara mereka yang tidak ikhlas
telah bertambah dengan ramainya. Beliau menyeru ke arah sederhana dan
menjauhkan segala kemewahan dan keseronokan.
Setiap jemaah haji hendaklah menunjukkan
tanda keghairahan mencintai SWT dan bukannya tanda cinta kepada kecantikan yang
dihiaskan.
Rasulullah ﷺ
bersabda:
“Akan datang kepada
manusia suatu masa, di mana naik haji umat aku kerana 4 perkara:
Orang kaya naik
haji kerana melancong.
Orang pertengahan
naik haji kerana beniaga.
Orang miskin naik
haji kerana meminta-minta.
Orang Qari dan
Ulama naik haji kerana riya’dan nama.”
(Hadis Riwayat Ad Dailamy)
.
.
21. Tawakal
Tawakal adalah penyandaran hati dan menyerah
diri sepenuhnya kepada Allah SWT Amat perlu ditanam dalam diri dengan sifat bertawakal
sebelum berangkat ke tanah suci bagi menghadapi pelbagai kerisauan,
kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam urusan ibadah Haji dan Umrah, menyerahkan
semua urusan kepadaNya serta meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa tidak ada
yang memberi, menghalangi, mendatangkan bahaya dan mendatangkan manfaat kecuali
Allah SWT semata.
Menurut pendapat Imam Ghazali r.a: “Tawakal membawa erti bahawa kita menyerahkan
diri kepada Allah sewaktu menghadapai kesusahan atau ketika menghadapi waktu
yang sukar dan genting dalam hidup ini. Pada ketika ini, hati perlu di
teguhkan seteguh-teguhnya sehingga ia mencapai satu titik ketenangan dan ketenteraman
di dalam jiwa.”
.
.
Penutup
.
Tujuan sebenar kita menunaikan Haji atau
Umrah ialah untuk memperbaiki jiwa. Maka kita perlulah membuat persediaan awal
yang mantap agar kita mendapat suatu kebaikan yang amat besar daripada ibadat
Haji dan Umrah tersebut.
Setiap hari, keadaan diri kita mestilah lebih
baik daripada yang sebelumnya. Hari ini lebih baik dari semalam dan begitulah
seterusnya, iaitu pembaikan yang berterusan. Oleh itu jemaah perlu secara sedar
untuk berniat melakukan persiapan rohani, mental dan spiritual kerana ianya
akan membersihkan diri dari segala cacat dan cela.
Dengan demikian kita dapat berangkat dalam
keadaan bersih dan suci. Terlepas dari segala beban duniawi yang akan
membebankan fikiran sepanjang perjalanan menunaikan ibadah haji.
Usahakan agar perjalanan rohani ini boleh
berjalan dengan baik dan lancar serta berharap ibadah hajinya mendapatkan redha
Allah SWT dan menjadi haji yang mabbur sebagaimana sabda
Rasulullah ﷺ: “Haji yang mabrur tiada ganjarannya yang sesuai
melainkan syurga.” (Hadis Riwayat Tabrani dari Ibnu Abbas)
.
.
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
0 Response to "21 Persiapan sebelum berangkat Ibadah Haji"
Post a Comment